Isnin, 19 Mei 2014

UJIAN YANG KECIL SAHAJA HANYA UNTUK MENGINGATKAN KITA KEPADANYA!!

Teks : Nik Norliza Nik Mat
Foto : Nik Norliza Nik Mat


    Pada 17.5.2014 yang lalu saya sekeluarga telah ditimpa kemalangan di persimpangan trafick Light berhampiran Hospital USM, Kubang Kerian.   Ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menziarahi orang tua saya di Pasir Hor.  Apabila menghampiri persimpangan trifick light, kereta saya telah dipotong oleh sebuah teksi dari arah belakang tetapi dari posisi yang salah iaitu dari bahagian kiri.   Teksi itu berjaya melintas kami dan berada hampir di hadapan kami.   Walau bagaimanapun suami saya sempat menekan brek dan mengawal keadaan.  Teksi tersebut seolah-olah tergesa-gesa mengajar lampu yang akan bertukar hijau.  Apabila lampu bertukar hijau dan kereta mula bergerak,   tiba-tiba kereta di hadapan teksi membrek,  teksi itu juga membrek dan kereta saya juga menekan brek,  begitu juga kereta di belakang saya.  Tetapi semuanya terlambat kerana keempat-empat kereta ini saling berlanggaran.  Namun kereta sayalah yang paling teruk sekali!!
    Keadaan di persimpangan trafic light itu sesak seketika,   beberapa orang pemandu meminta suami saya mengalihkan kereta bagi mengelakkan kesesakan.  Nasib baik kereta saya masih boleh bergerak walau bonet di hadapannya remuk teruk.  Dalam kemalangan ini kereta yang mengalami kerosakan teruk ialah kereta saya, manakala teksi yang memotong tiba-tiba itu hanya tercabut bumper belakangnya sahaja.   Manakala dua buah kereta lagi hanya mengalami calar kecil sahaja.  Suami saya agak berang juga dengan sikap pemandu teksi yang memotong dari arah yang salah itu.  Pemandu tersebut pada mulanya tidak mahu mengaku kesalahannya tetapi setelah diugut dengan mengatakan ramai saksi yang melihat keadaan itu,  barulah dia memohon maaf atas tindakannya.  Setelah berbincang dengan pemandu teksi itu,  kami sepakat untuk tidak membuat report polis dan bersetuju untuk membaiki kereta masing-masing.
    Setelah itu kami berniat untuk meneruskan  perjalanan pulang.   Walau bagaimanapun, apabila kereta kami bergerak dalam 500 meter, suami terpaksa menghentikan kereta apabila melihat tompokan tumpahan air yang banyak di atas jalan dan melihat asap kecil dari enjin.  Kami berhenti di Jambatan Pulau Melaka (berhampiran rumah bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz).   Di situ,  suami menghubungi lori towing untuk mengangkut kereta kami.   Saya dan anak-anak pula dibawa ke rumah adik ipar yang berhampiran kawasan tersebut.  Dari rumah adik ipar, kami dijemput oleh abang ipar dan dihantar ke rumah.  Anak-anak mula bertanyakan saya bagaimana keadaan mereka hendak ke sekolah esok.  Rugi jika mereka tidak dapat ke sekolah esok kerana sekolah mereka mengadakan Sambutan Hari Guru.  Saya menjawab tidak perlu fikirkan perkara tersebut kerana semuanya telah diatur oleh Allah S.W.T.  Seterusnya saya mengingatkan mereka agar jangan sedikitpun lupa dan lagha dari mengingati Allah kerana apabila lupa, Allah akan 'mengetuk' sedikit kepala kita untuk mengingatiNya.
    Alhamdulillah,  saya amat bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan yang teruk.   Hanya baby Auni yang berumur 9 bulan agak terkejut dan menangis kuat selepas pelanggaran tersebut.  Syukur padaMU ya Allah!