Ahad, 30 Mac 2014

CUTI SEKOLAH BERMULA

Teks : Nik Norliza Nik MAt
Foto : Nik Norliza Nik Mat



   Cuti sekolah penggal pertama telahpun bermula.  Seperti biasa anak-anak saya bertanyakan bilakah mereka dapat pulang ke rumah nenek di Kota Bharu.   Biasanya saya akan menyuruh mereka bertanyakan suami kerana semuanya bergantung kepada masa dan peluang yang dia ada.   Apabila mereka bertanya suami, disuruh pula tanya umi....hi,hi,hi pening kepala anak-anak.

   Jadi,  pada hari Ahad lepas iaitu 16.3.14,   kami bertolak pulang dari Jerteh ke Pasir Hor, Kota Bharu.  Kami sampai agak lewat petang kerana singgah kenduri terlebih dahulu di Pasir Puteh.  Apabila tiba di rumah Umi, kami dikejutkan dengan berita yang mencemaskan iaitu Abi telah terjatuh dari motor sewaktu hendak ke masjid pada waktu Zohor.  Kebetulan juga saya sekeluarga pulang ketika itu,  jika tidak Umi seorang diri terpaksa menghadapi berita tersebut.  Telefon rumah tiada manakala telefon bimbit Abi ada bersamanya,  jadi Umi terpinga-pinga juga tidak tahu berita terkini tentang keadaan Abi. Sayapun terus menghubungi abang yang sulung (Along) yang ketika itu berada bersama Abi di wad kecemasan Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu.

   Setelah bercakap dengan Along,  barulah saya tahu cerita sebenar dan keadaan terkini Abi di sana.   Rupa-rupanya Abi telah menekan brek tangan motosikal Yamaha yang dinaikinya secara mengejut   Mungkin Abi tidak sempat menongkatkan kakinya ke tanah menyebabkan dia terjatuh.   Kesan dari kejadian itu,  bahu sebelah kanan Abi tercabut dan ada luka sebelah dalam serta serpihan tulang.  Doktor telah cuba memasukkan sendi di bahunya tetapi tidak berjaya.   Oleh itu,  Abi perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan tulang tersebut dan memasukkan dua batang skru serta membetulkan sendi yang tercabut. Ngeri bila dengar tentang pembedahan kerana walaupun ia adalah pembedahan yang kecil sekalipun,  risikonya tetap ada.  Macam kes Abi,  faktor umur adalah sesuatu yang memungkinkan timbulnya risiko semasa dan selepas pembedahan.   Sebelum pembedahan dilakukan,  doktor telah melakukan pemeriksaan ke atasnya dan mendapati abi menghadapi masalah paru-paru.   Sel paru-paru Abi agak sedikit rosak akibat dari amalan merokok semasa muda dan juga berair.   Oleh itu doktor menerangkan kemungkinan berlaku masalah pernafasan selepas dibedah dan Abi perlu dipantau di wad icu selepas pembedahan tersebut.
      Saya yang ketika itu berada di rumah umi telah diminta oleh Umi untuk melakukan solat hajat memandangkan Umi dan adik-adik yang lain berada di hospital dan terdapat kekangan untuk menunaikan solat hajat di sana.  Sebelum pembedahan dilakukan , Abi perlu berpuasa.  Abi mula berpuasa pada pukul 12 tengah malam.  Namun tempoh  puasa Abi melebihi tempoh masa puasa wajib kita apabila terpaksa menyambung lagi puasa tersebut kerana bilik pembedahan masih penuh.  Keadaan Abi semakin teruk apabila tidak bertenaga langsung untuk bergerak ke tandas.  Jika sebelum ini memadai seorang sahaja yang memapah Abi ke tandas,  namun pada hari ke dua itu,  Abi terpaksa dipapah oleh 3 orang adik perempuan saya.  Setelah sehari menunggu giliran maka tiba lah giliran Abi untuk menjalani pembedahan.  Lebih kurang 3 jam masa pembedahan tersebut.  Alhamdulillah pembedahan telah berjaya dilakukan dan Abi dalam keadaan stabil walaupun masih tidak sedarkan diri. Setelah 12 jam dipantau dalam wad icu,  Abi ditempatkan di wad biasa.  Ramai saudara mara kami yang datang menziarahi Abi ketika di dalam wad.  Selepas 2 hari berada di dalam wad, Abi dibenarkan pulang.  Adik-adik saya yang berada di luar Kelantan juga turut pulang untuk menziarahi dan melihat sendiri keadaan Abi. Kami berasa bertuah dan berterima kasih yang amat sangat kepada adik perempuan bongsu , Nik Nurun Amani yang kebetulan berada di rumah setelah tamat belajar dalam bidang nursing.  Sekarang ini dia lah yang banyak menguruskan Abi ketika berada di rumah.  Saya sentiasa mengikuti perkembangan Abi walaupun tidak dapat menjenguk Abi di rumah.  Harapan saya moga abi cepat sembuh dan dapat bergerak aktif sepbagai mana sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan