Rabu, 1 Januari 2014

TERUJA KE SEKOLAH

Teks  :  Nik Norliza Nik Mat
Foto  :  Carian Google


Assalamualaikum w.b.t




   Hari pertama persekolahan sesi 2014 di sebelah pantai timur telahpun bermula.Anak saya Muhammad Faiz Hakimi sangat teruja untuk memulakan sesi persekolahannya dan masuk ke alam baru. Hari ini si abah mengambil cuti semata-mata untuk menghantar dan menemaninya di sekolah, di samping mendengar taklimat dari pihak sekolah.  Sebelum itu abang-abangnya, si along dan angah telahpun memberi peringatan dan panduan ketika berada di sekolah. Siap bagi amaran tidak boleh buat itu dan ini, cikgu-cikgu garang dan macam-macam lagi.  

   Saya tidak terlalu risaukan Faiz kerana abangnya ada untuk tolong tengok-tengokkan si adik.Saya tahu dia jenis yang pandai bawa diri dan berdikari.  Namun apa yang membimbangkan saya ialah tahap akademiknya yang kurang memberangsangkan.  Saya tidaklah mahu menunding jari menyalahkan tadikanya seratus peratus kerana saya sebagai ibunya juga memainkan peranan.  Tetapi  telah ramai rupanya ibubapa yang 'melarikan' anak mereka ke tadika lain kerana tiada perkembangan pelajaran anak-anak mereka.

   Sebelum ini tadika tersebut agak terkenal dan ramai ibubapa yang menghantar anak mereka ke situ, termasuk saya.  Namun mulai tahun lepas tadika tersebut macam sedikit merosot apabila anak saya Faiz masih belum dapat membaca sedangkan ketika itu sudah masuk bulan Ogos.  Sebenarnya, saya telah menghantar Faiz ke tadika tersebut ketika umurnya 5 tahun.  Apabila masuk 6 tahun iaitu pada tahun lepas, saya berniat untuk memindahkan Faiz ke tadika lamanya semasa dia berumur 4 tahun.  Walau bagaimanapun Faiz merengek-rengek tidak mahu ke tadika lamanya kerana takutkan cikgu yang garang.  Jadi, saya tiada pilihan selain menghantarnya ke situ.  Lagi pula tadika tersebut berhampiran dengan sekolah abang-abangnya.  Jadi saya tidak perlu melalui jalan yang berlainan untuk menghantar anak-anak .     

  Bermula bulan Januari hingga masuk bulan Ogos, Faiz masih belum dapat membaca.  Ini membimbangkan saya dan suami.  Kami sepakat untuk memindahkan Faiz ke tadika lain yang berhampiran walaupun yurannya agak mahal.  Kebetulan saya hampir hendak bersalin.  Jadi saya memberikan alasan kepada cikgunya untuk berpindah ke tadika berhampiran rumah bagi memudahkan suami menghantarnya sepanjang tempoh berpantang.  Sebelum ini tugas menghantar dan mengambil anak hampir 99% diuruskan oleh saya. Ini kerana laluan ke tempat kerja suami bertentangan dengan laluan ke sekolah saya dan anak-anak.  Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan selepas itu Faiz sudah pandai membaca walaupun tidak berapa lancar.  Cuma untuk subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, dia agak ketinggalan kerana cikgu tadikanya terpaksa tumpukan kepada kemahiran membaca.

   Pada minggu depan, pihak sekolah akan mengadakan ujian bagi murid tahun satu untuk menentukan tahap dan kelas murid.  Subjek Bahasa Inggeris adalah wajib dikuasai murid dan akan diuji pada hari tersebut, begitu juga dengan subjek Matematik.  Saya berdoa dan berharap agar Faiz tidak dilempatkan di kelas yang tercorot.  Moga Faiz dapat menjawab ujian yang akan diadakan nanti dengan lancar dan mudah, Insya Allah.Wallahua'klam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan