Memaparkan catatan dengan label CATATAN HARIAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CATATAN HARIAN. Papar semua catatan

Selasa, 15 April 2014

APABILA RUTIN TERBABAS!!!

Teks   :  Nik Norliza Nik Mat
Foto   :  Carian Google

    Hari ini TERLEWAT BANGUN !!! Astaghfirullah hal azim.... 6:41 pagi.  Biasanya kalau 6:41 pagi ni anak-anak dah beres semuanya,  tunggu uminya jer siap pakai tudung.   Tapi apabila 6:41 pagi ini saya seorang yang baru terjaga,  manakala yang lain masih belum bangun termasuk si abah, maka kelam kabutlah jadinya. Dah lah dengan baju belum bergosok lagi, nasib baik anak-anak pakai baju PJ sahaja.  Biasanya saya siap menggosok baju untuk stok seminggu tetapi sejak si kecil Auni ni pandai merangkak laju selalu sahaja tergendala nak menggosok.
   Nasib baik juga anak-anak mudah dikejutkan dan tiada masalah mengurus hal persekolahan mereka.   Cuma Abang Chik yang berumur 4 tahun dan Auni yang berumur 8 bulan perlu diuruskan beg pakaian mereka.  Sayapun tak tahu macam mana saya boleh terbangun lewat pada pagi ni,  mungkin kerana kerap terjaga dek menyusukan Auni dan tidak mendengar bunyi penggera jam pada telefon.
    Walau bagaimanapun Alhamdulillah, saya dan anak-anak sampai dengan selamat dan sempat punch masuk sebelum keluar tanda merah.  Tetapi agak hairan juga apabila saya tiba di sekolah lebih kurang waktunya dengan rakan guru yang rumahnya hanya beberapa meter sahaja dari pagar sekolah. Bila diperhatikan memang begitu lah lumrahnya ,  mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah atau tempat kerja ni jarang yang tiba awal di sekolah.   Kadang-kadang kita yang tinggal lebih jauh dalam setengah jam perjalanan sampai awal dari mereka yang perjalanannya tidak sampai lima minitpun.
   Alangkan bahagianya kalau rumah sayapun dekat dengan sekolah tapi mungkin sikap saya juga sama dengan mereka iaitu tiba lewat juga di sekolah.  Apa-apapun bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T ke atas kita.  Wallahua'lam.

Rabu, 9 April 2014

KURSUS PERTAMA PADA TAHUN 2014

Teks   :  Nik Norliza Nik Mat


    Hari ini saya diarahkan membawa dua orang pelajar dari unit beruniform Puteri Islam untuk menghadiri Bengkel Penyediaan Buku Log Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Pasir Puteh.   Bengkel ini diadakan selama 2 hari bertempat di Pusat Latihan Daerah , Pejabat Pendidikan Pasir Puteh, Kelantan.   Pada masa yang sama,  guru penasihat bagi setiap sekolah samada menengah atau rendah dikehendaki mendaftar ahli Puteri Islam sekolah masing-masing.   Pendaftaran ini dilakukan secara online.  Biasanya apabila dikatakan online,  kebanyakan cikgu-cikgu sudah mula stress terutama guru yang agak veteran.   Golongan cikgu-cikgu yang berumur dalam lingkungan ini tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia akan menyebabkan tekanan darah mereka naik.
    Pada kebiasaannya, apabila sesuatu kerja itu berkaitan dengan sistem online,  tidak dapat tidak memang akan wujud masalah dengan sistem.  Situasi ini turut berlaku kepada saya.   Saya tidak dapat log in langsung ke dalam Sistem Online Puteri Islam sedangkan nombor dan pasword adalah mudah dan sama iaitu nombor kod sekolah.  Saya terpaksa menunggu hampir sejam lamanya untuk menunggu log in ke dalam sistem tersebut.   Mujurlah proses untuk mengisi nama-nama pelajar itu tidak menghadapi masalah.  Selesai proses pendaftaran tersebut tiada aktiviti atau pengisian untuk guru penasihat.  Justeru cikgu-cikgupun mulalah membuat pengisian sendiri,   ada yang buka 'kelab bual',  satu persatu isu dibincangkan termasuklah isu hangat terkini iaitu kehilangan pesawat mas MH370.   Walau bagaimanapun bagi bengkel penyedian buku log yang diikuti oleh pelajar masih berjalan lancar sehingga tamat jam 1.30 petang.
    Esok masih ada satu hari lagi untuk kursus dan bengkel ini.  Walau bagaimanapun saya meminta jasa baik rakan guru yang lain untuk menggantikan saya memandangkan banyak urusan di sekolah yang akan tertunda kerana cuti sekolah akan bermula minggu depan.

PERTANDINGAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN DAN FESTIVAL NASYID 2014

Teks  : Nik Norliza Nik Mat
Foto  : Nik Norliza Nik Mat



   Pada 1 April yang lalu,  satu pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran dan Festival Nasyid peringkat Zon 2, PPD Pasir Puteh telahpun berlangsung.  Pertandingan ini melibatkan 5 buah sekolah dan diadakan di SMK Sg. Petai, Pasir Puteh.  Pada tahun ini, sekolah kami SMK Cherang Ruku telah menyertai kesemua kategori yang dipertandingkan.  Kategori-kategori tersebut ialah Tilawah (Lelaki & Perempuan), Hafazan (Lelaki & Perempuan), Syarahan (Lelaki & Perempuan) serta Nasyid.

   Keputusan yang diperolehi agak memberangsangkan.  Kami telah berjaya mendapat johan bagi kategori Nasyid,  Syarahan Lelaki dan Tilawah Lelaki.  Manakala bagi kategori Syarahan Perempuan, Hafazan Perempuan dan Hafazan Lelaki, kami berjaya mendapat tempat Naib Johan.  Bagi pemenang-pemenang Johan dan Naib Johan,  mereka akan bertanding pula ke peringkat PPD yang akan berlangsung pada 8 April bertempat di SMK Tok Janggut.  Harapan kami agar peserta-peserta ini dapat membuat persembahan yang terbaik serta dapat memenangi mana-mana satu kategori yang dipertandingkan.


Ahad, 30 Mac 2014

CUTI SEKOLAH BERMULA

Teks : Nik Norliza Nik MAt
Foto : Nik Norliza Nik Mat



   Cuti sekolah penggal pertama telahpun bermula.  Seperti biasa anak-anak saya bertanyakan bilakah mereka dapat pulang ke rumah nenek di Kota Bharu.   Biasanya saya akan menyuruh mereka bertanyakan suami kerana semuanya bergantung kepada masa dan peluang yang dia ada.   Apabila mereka bertanya suami, disuruh pula tanya umi....hi,hi,hi pening kepala anak-anak.

   Jadi,  pada hari Ahad lepas iaitu 16.3.14,   kami bertolak pulang dari Jerteh ke Pasir Hor, Kota Bharu.  Kami sampai agak lewat petang kerana singgah kenduri terlebih dahulu di Pasir Puteh.  Apabila tiba di rumah Umi, kami dikejutkan dengan berita yang mencemaskan iaitu Abi telah terjatuh dari motor sewaktu hendak ke masjid pada waktu Zohor.  Kebetulan juga saya sekeluarga pulang ketika itu,  jika tidak Umi seorang diri terpaksa menghadapi berita tersebut.  Telefon rumah tiada manakala telefon bimbit Abi ada bersamanya,  jadi Umi terpinga-pinga juga tidak tahu berita terkini tentang keadaan Abi. Sayapun terus menghubungi abang yang sulung (Along) yang ketika itu berada bersama Abi di wad kecemasan Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu.

   Setelah bercakap dengan Along,  barulah saya tahu cerita sebenar dan keadaan terkini Abi di sana.   Rupa-rupanya Abi telah menekan brek tangan motosikal Yamaha yang dinaikinya secara mengejut   Mungkin Abi tidak sempat menongkatkan kakinya ke tanah menyebabkan dia terjatuh.   Kesan dari kejadian itu,  bahu sebelah kanan Abi tercabut dan ada luka sebelah dalam serta serpihan tulang.  Doktor telah cuba memasukkan sendi di bahunya tetapi tidak berjaya.   Oleh itu,  Abi perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan tulang tersebut dan memasukkan dua batang skru serta membetulkan sendi yang tercabut. Ngeri bila dengar tentang pembedahan kerana walaupun ia adalah pembedahan yang kecil sekalipun,  risikonya tetap ada.  Macam kes Abi,  faktor umur adalah sesuatu yang memungkinkan timbulnya risiko semasa dan selepas pembedahan.   Sebelum pembedahan dilakukan,  doktor telah melakukan pemeriksaan ke atasnya dan mendapati abi menghadapi masalah paru-paru.   Sel paru-paru Abi agak sedikit rosak akibat dari amalan merokok semasa muda dan juga berair.   Oleh itu doktor menerangkan kemungkinan berlaku masalah pernafasan selepas dibedah dan Abi perlu dipantau di wad icu selepas pembedahan tersebut.
      Saya yang ketika itu berada di rumah umi telah diminta oleh Umi untuk melakukan solat hajat memandangkan Umi dan adik-adik yang lain berada di hospital dan terdapat kekangan untuk menunaikan solat hajat di sana.  Sebelum pembedahan dilakukan , Abi perlu berpuasa.  Abi mula berpuasa pada pukul 12 tengah malam.  Namun tempoh  puasa Abi melebihi tempoh masa puasa wajib kita apabila terpaksa menyambung lagi puasa tersebut kerana bilik pembedahan masih penuh.  Keadaan Abi semakin teruk apabila tidak bertenaga langsung untuk bergerak ke tandas.  Jika sebelum ini memadai seorang sahaja yang memapah Abi ke tandas,  namun pada hari ke dua itu,  Abi terpaksa dipapah oleh 3 orang adik perempuan saya.  Setelah sehari menunggu giliran maka tiba lah giliran Abi untuk menjalani pembedahan.  Lebih kurang 3 jam masa pembedahan tersebut.  Alhamdulillah pembedahan telah berjaya dilakukan dan Abi dalam keadaan stabil walaupun masih tidak sedarkan diri. Setelah 12 jam dipantau dalam wad icu,  Abi ditempatkan di wad biasa.  Ramai saudara mara kami yang datang menziarahi Abi ketika di dalam wad.  Selepas 2 hari berada di dalam wad, Abi dibenarkan pulang.  Adik-adik saya yang berada di luar Kelantan juga turut pulang untuk menziarahi dan melihat sendiri keadaan Abi. Kami berasa bertuah dan berterima kasih yang amat sangat kepada adik perempuan bongsu , Nik Nurun Amani yang kebetulan berada di rumah setelah tamat belajar dalam bidang nursing.  Sekarang ini dia lah yang banyak menguruskan Abi ketika berada di rumah.  Saya sentiasa mengikuti perkembangan Abi walaupun tidak dapat menjenguk Abi di rumah.  Harapan saya moga abi cepat sembuh dan dapat bergerak aktif sepbagai mana sebelum ini.

Isnin, 10 Mac 2014

MISTERI KEHILANGAN PESAWAT MAS MH370

Teks  : Nik Norliza Nik Mat
Foto  : Carian Google






   Tanggal Sabtu 8 Mac 2014,  dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada pukul 12.41 pagi dan dijangka tiba di Beijing pada jam 6 petang.  Namun pesawat yang membawa 12 krew kabin, 239 penumpang termasuk dua bayi  itu gagal mendarat mengikut jadual.   Ia dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara.

    Hari ini adalah hari keempat pesawat tersebut hilang dan masih tidak dapat dikesan sejak dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi hari Sabtu tersebut.   Pesawat itu dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun bersama pegawai kanan, Fariq Ab. HAmid, 27 tahun.  Zaharie mempunyai pengalaman sebanyak 18,365 jam penerbangan dan telah berkhidmat sejak tahun 1981 manakala Fariq mula berkhidmat sejak 2007 dan memiliki jumlah jam penerbangan 2,763.

   Antara faktor kemungkinan yang menyebabkan sesuatu bencana berlaku terhadap mana-mana pesawat termasuk MH370 ialah :

  1. )  Struktur  kapal terbang 
  2. )  Kegagalan fungsi enjin.
  3. )  Kerosakan sistem elektronik termasuk sistem komunikasi
  4. )  Kesilapan manusia.
   Walau bagaimanapun semuanya itu adalah andaian manusia yang lemah dan terhad ilmu dan akalnya berbanding pencipta kita Allah S.W.T.   Semuanya adalah kuasa dan keajaiban Allah S.W.T yang mengatasi teknologi manusia.   Sebagai orang yang beriman ,  kita perlu percaya kepada kuasa Allah.   Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar pesawat ini dapat dijumpai dalam masa terdekat tidak kira apa jua kesudahannya samada gembira atau duka.

PRAY4MH370


Sabtu, 15 Februari 2014

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Teks : Nik Norliza Nik Mat
Foto : Carian Google


Assalamualaikum w.b.t

    Alhamdulillah , segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam,selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Tanggal 12 Rabiul Awwal menjelma lagi.  Bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.  Nabi yang diutus membawa rahmat ke sekalian alam bagi membina umat yang bertamadun.  Sebenarnya bukan dalam bulan ini sahaja kita mengingati Baginda S.A.W, tetapi ingatan itu patut ada sepanjang masa dan hingga akhir hayat kita.  Ini adalah kerana Nabi sendiri sentiasa ingat dan kasihkan kita umatnya walau tidak pernah bersua muka.  Hingga ke hayat terakhir baginda, umatnya sahaja yang diingati.
   Nabi Muhammad, contoh dan teladan yang terbaik untuk umat sekalian alam.  Sebagai umat baginda marilah sama-sama kita cuba untuk mengamalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad S.A.W.  Jika tidak dapat melaksanakan kesemuanya memadailah antara yang ringan dan yang termampu oleh kita.





JOM AMALKAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W !!!



        CARA RASULULLAH MAKAN ››››››

1. Menggunakan Tangan.
    Mengikut cara Rasulullah s.a.w, sebelum baginda makan,  baginda s.a.w akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya.  Lalu Rasullah s.a.w akan menghisap garam itu.  Kemudian barulah Rasulullah makan makanan tersebut. Mengapa?
    Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion. Mengapa menghisap garam?
    Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.
   Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, di hospital-hospital, the first line of  treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.


2. Cara Rasulullah mengunyah
    Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.


3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim).


    Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
      Baginda S.A.W suka makan roti dan daging, dan senang pada buah pear.Bahagian kambing yg dugemari oleh Baginda ialah     bahagian lengan dan bahu.Bahagian yg tidak digemari pula ialah bahagian buah pinggang, kemaluan, buah kemaluan.Baginda tidak suka makan bawang merah dan bawang putih.


                                     ššššššRahsia Tidur Rasulullah S.A.W.


     Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah swt hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.

     Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar. Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga. Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah. Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi SAW,dia hanya akan dapat kerehatan.Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilo tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.

Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.

2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang  telah mati.

3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah?

Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X.


4. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.

6. Ambil wudhuk sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.

7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.

8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

# Banyak lagi Sunnah Nabi saw yang boleh diamal,  semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur.  Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.

Peringatan : Pesan Nabi saw, dilarang tidur meniarap terutama lelaki.Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.                         Tutup aurat ketika tidur. Kenapa ya? Lelaki yang tidur meniarap,dibawahnya Syaitan/ Jin Betina.Tidur bogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain.  

Wallahua’lam.Jumpa lagi untuk sunnah-sunnah yang lain yang mampu kita teladani.



Rabu, 1 Januari 2014

TERUJA KE SEKOLAH

Teks  :  Nik Norliza Nik Mat
Foto  :  Carian Google


Assalamualaikum w.b.t




   Hari pertama persekolahan sesi 2014 di sebelah pantai timur telahpun bermula.Anak saya Muhammad Faiz Hakimi sangat teruja untuk memulakan sesi persekolahannya dan masuk ke alam baru. Hari ini si abah mengambil cuti semata-mata untuk menghantar dan menemaninya di sekolah, di samping mendengar taklimat dari pihak sekolah.  Sebelum itu abang-abangnya, si along dan angah telahpun memberi peringatan dan panduan ketika berada di sekolah. Siap bagi amaran tidak boleh buat itu dan ini, cikgu-cikgu garang dan macam-macam lagi.  

   Saya tidak terlalu risaukan Faiz kerana abangnya ada untuk tolong tengok-tengokkan si adik.Saya tahu dia jenis yang pandai bawa diri dan berdikari.  Namun apa yang membimbangkan saya ialah tahap akademiknya yang kurang memberangsangkan.  Saya tidaklah mahu menunding jari menyalahkan tadikanya seratus peratus kerana saya sebagai ibunya juga memainkan peranan.  Tetapi  telah ramai rupanya ibubapa yang 'melarikan' anak mereka ke tadika lain kerana tiada perkembangan pelajaran anak-anak mereka.

   Sebelum ini tadika tersebut agak terkenal dan ramai ibubapa yang menghantar anak mereka ke situ, termasuk saya.  Namun mulai tahun lepas tadika tersebut macam sedikit merosot apabila anak saya Faiz masih belum dapat membaca sedangkan ketika itu sudah masuk bulan Ogos.  Sebenarnya, saya telah menghantar Faiz ke tadika tersebut ketika umurnya 5 tahun.  Apabila masuk 6 tahun iaitu pada tahun lepas, saya berniat untuk memindahkan Faiz ke tadika lamanya semasa dia berumur 4 tahun.  Walau bagaimanapun Faiz merengek-rengek tidak mahu ke tadika lamanya kerana takutkan cikgu yang garang.  Jadi, saya tiada pilihan selain menghantarnya ke situ.  Lagi pula tadika tersebut berhampiran dengan sekolah abang-abangnya.  Jadi saya tidak perlu melalui jalan yang berlainan untuk menghantar anak-anak .     

  Bermula bulan Januari hingga masuk bulan Ogos, Faiz masih belum dapat membaca.  Ini membimbangkan saya dan suami.  Kami sepakat untuk memindahkan Faiz ke tadika lain yang berhampiran walaupun yurannya agak mahal.  Kebetulan saya hampir hendak bersalin.  Jadi saya memberikan alasan kepada cikgunya untuk berpindah ke tadika berhampiran rumah bagi memudahkan suami menghantarnya sepanjang tempoh berpantang.  Sebelum ini tugas menghantar dan mengambil anak hampir 99% diuruskan oleh saya. Ini kerana laluan ke tempat kerja suami bertentangan dengan laluan ke sekolah saya dan anak-anak.  Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan selepas itu Faiz sudah pandai membaca walaupun tidak berapa lancar.  Cuma untuk subjek Bahasa Inggeris dan Matematik, dia agak ketinggalan kerana cikgu tadikanya terpaksa tumpukan kepada kemahiran membaca.

   Pada minggu depan, pihak sekolah akan mengadakan ujian bagi murid tahun satu untuk menentukan tahap dan kelas murid.  Subjek Bahasa Inggeris adalah wajib dikuasai murid dan akan diuji pada hari tersebut, begitu juga dengan subjek Matematik.  Saya berdoa dan berharap agar Faiz tidak dilempatkan di kelas yang tercorot.  Moga Faiz dapat menjawab ujian yang akan diadakan nanti dengan lancar dan mudah, Insya Allah.Wallahua'klam