Rabu, 9 April 2014

KURSUS PERTAMA PADA TAHUN 2014

Teks   :  Nik Norliza Nik Mat


    Hari ini saya diarahkan membawa dua orang pelajar dari unit beruniform Puteri Islam untuk menghadiri Bengkel Penyediaan Buku Log Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Pasir Puteh.   Bengkel ini diadakan selama 2 hari bertempat di Pusat Latihan Daerah , Pejabat Pendidikan Pasir Puteh, Kelantan.   Pada masa yang sama,  guru penasihat bagi setiap sekolah samada menengah atau rendah dikehendaki mendaftar ahli Puteri Islam sekolah masing-masing.   Pendaftaran ini dilakukan secara online.  Biasanya apabila dikatakan online,  kebanyakan cikgu-cikgu sudah mula stress terutama guru yang agak veteran.   Golongan cikgu-cikgu yang berumur dalam lingkungan ini tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia akan menyebabkan tekanan darah mereka naik.
    Pada kebiasaannya, apabila sesuatu kerja itu berkaitan dengan sistem online,  tidak dapat tidak memang akan wujud masalah dengan sistem.  Situasi ini turut berlaku kepada saya.   Saya tidak dapat log in langsung ke dalam Sistem Online Puteri Islam sedangkan nombor dan pasword adalah mudah dan sama iaitu nombor kod sekolah.  Saya terpaksa menunggu hampir sejam lamanya untuk menunggu log in ke dalam sistem tersebut.   Mujurlah proses untuk mengisi nama-nama pelajar itu tidak menghadapi masalah.  Selesai proses pendaftaran tersebut tiada aktiviti atau pengisian untuk guru penasihat.  Justeru cikgu-cikgupun mulalah membuat pengisian sendiri,   ada yang buka 'kelab bual',  satu persatu isu dibincangkan termasuklah isu hangat terkini iaitu kehilangan pesawat mas MH370.   Walau bagaimanapun bagi bengkel penyedian buku log yang diikuti oleh pelajar masih berjalan lancar sehingga tamat jam 1.30 petang.
    Esok masih ada satu hari lagi untuk kursus dan bengkel ini.  Walau bagaimanapun saya meminta jasa baik rakan guru yang lain untuk menggantikan saya memandangkan banyak urusan di sekolah yang akan tertunda kerana cuti sekolah akan bermula minggu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan