Isnin, 19 Mei 2014

UJIAN YANG KECIL SAHAJA HANYA UNTUK MENGINGATKAN KITA KEPADANYA!!

Teks : Nik Norliza Nik Mat
Foto : Nik Norliza Nik Mat


    Pada 17.5.2014 yang lalu saya sekeluarga telah ditimpa kemalangan di persimpangan trafick Light berhampiran Hospital USM, Kubang Kerian.   Ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke rumah setelah menziarahi orang tua saya di Pasir Hor.  Apabila menghampiri persimpangan trifick light, kereta saya telah dipotong oleh sebuah teksi dari arah belakang tetapi dari posisi yang salah iaitu dari bahagian kiri.   Teksi itu berjaya melintas kami dan berada hampir di hadapan kami.   Walau bagaimanapun suami saya sempat menekan brek dan mengawal keadaan.  Teksi tersebut seolah-olah tergesa-gesa mengajar lampu yang akan bertukar hijau.  Apabila lampu bertukar hijau dan kereta mula bergerak,   tiba-tiba kereta di hadapan teksi membrek,  teksi itu juga membrek dan kereta saya juga menekan brek,  begitu juga kereta di belakang saya.  Tetapi semuanya terlambat kerana keempat-empat kereta ini saling berlanggaran.  Namun kereta sayalah yang paling teruk sekali!!
    Keadaan di persimpangan trafic light itu sesak seketika,   beberapa orang pemandu meminta suami saya mengalihkan kereta bagi mengelakkan kesesakan.  Nasib baik kereta saya masih boleh bergerak walau bonet di hadapannya remuk teruk.  Dalam kemalangan ini kereta yang mengalami kerosakan teruk ialah kereta saya, manakala teksi yang memotong tiba-tiba itu hanya tercabut bumper belakangnya sahaja.   Manakala dua buah kereta lagi hanya mengalami calar kecil sahaja.  Suami saya agak berang juga dengan sikap pemandu teksi yang memotong dari arah yang salah itu.  Pemandu tersebut pada mulanya tidak mahu mengaku kesalahannya tetapi setelah diugut dengan mengatakan ramai saksi yang melihat keadaan itu,  barulah dia memohon maaf atas tindakannya.  Setelah berbincang dengan pemandu teksi itu,  kami sepakat untuk tidak membuat report polis dan bersetuju untuk membaiki kereta masing-masing.
    Setelah itu kami berniat untuk meneruskan  perjalanan pulang.   Walau bagaimanapun, apabila kereta kami bergerak dalam 500 meter, suami terpaksa menghentikan kereta apabila melihat tompokan tumpahan air yang banyak di atas jalan dan melihat asap kecil dari enjin.  Kami berhenti di Jambatan Pulau Melaka (berhampiran rumah bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz).   Di situ,  suami menghubungi lori towing untuk mengangkut kereta kami.   Saya dan anak-anak pula dibawa ke rumah adik ipar yang berhampiran kawasan tersebut.  Dari rumah adik ipar, kami dijemput oleh abang ipar dan dihantar ke rumah.  Anak-anak mula bertanyakan saya bagaimana keadaan mereka hendak ke sekolah esok.  Rugi jika mereka tidak dapat ke sekolah esok kerana sekolah mereka mengadakan Sambutan Hari Guru.  Saya menjawab tidak perlu fikirkan perkara tersebut kerana semuanya telah diatur oleh Allah S.W.T.  Seterusnya saya mengingatkan mereka agar jangan sedikitpun lupa dan lagha dari mengingati Allah kerana apabila lupa, Allah akan 'mengetuk' sedikit kepala kita untuk mengingatiNya.
    Alhamdulillah,  saya amat bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan yang teruk.   Hanya baby Auni yang berumur 9 bulan agak terkejut dan menangis kuat selepas pelanggaran tersebut.  Syukur padaMU ya Allah!

Selasa, 15 April 2014

APABILA RUTIN TERBABAS!!!

Teks   :  Nik Norliza Nik Mat
Foto   :  Carian Google

    Hari ini TERLEWAT BANGUN !!! Astaghfirullah hal azim.... 6:41 pagi.  Biasanya kalau 6:41 pagi ni anak-anak dah beres semuanya,  tunggu uminya jer siap pakai tudung.   Tapi apabila 6:41 pagi ini saya seorang yang baru terjaga,  manakala yang lain masih belum bangun termasuk si abah, maka kelam kabutlah jadinya. Dah lah dengan baju belum bergosok lagi, nasib baik anak-anak pakai baju PJ sahaja.  Biasanya saya siap menggosok baju untuk stok seminggu tetapi sejak si kecil Auni ni pandai merangkak laju selalu sahaja tergendala nak menggosok.
   Nasib baik juga anak-anak mudah dikejutkan dan tiada masalah mengurus hal persekolahan mereka.   Cuma Abang Chik yang berumur 4 tahun dan Auni yang berumur 8 bulan perlu diuruskan beg pakaian mereka.  Sayapun tak tahu macam mana saya boleh terbangun lewat pada pagi ni,  mungkin kerana kerap terjaga dek menyusukan Auni dan tidak mendengar bunyi penggera jam pada telefon.
    Walau bagaimanapun Alhamdulillah, saya dan anak-anak sampai dengan selamat dan sempat punch masuk sebelum keluar tanda merah.  Tetapi agak hairan juga apabila saya tiba di sekolah lebih kurang waktunya dengan rakan guru yang rumahnya hanya beberapa meter sahaja dari pagar sekolah. Bila diperhatikan memang begitu lah lumrahnya ,  mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah atau tempat kerja ni jarang yang tiba awal di sekolah.   Kadang-kadang kita yang tinggal lebih jauh dalam setengah jam perjalanan sampai awal dari mereka yang perjalanannya tidak sampai lima minitpun.
   Alangkan bahagianya kalau rumah sayapun dekat dengan sekolah tapi mungkin sikap saya juga sama dengan mereka iaitu tiba lewat juga di sekolah.  Apa-apapun bersyukurlah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T ke atas kita.  Wallahua'lam.

Rabu, 9 April 2014

KURSUS PERTAMA PADA TAHUN 2014

Teks   :  Nik Norliza Nik Mat


    Hari ini saya diarahkan membawa dua orang pelajar dari unit beruniform Puteri Islam untuk menghadiri Bengkel Penyediaan Buku Log Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Pasir Puteh.   Bengkel ini diadakan selama 2 hari bertempat di Pusat Latihan Daerah , Pejabat Pendidikan Pasir Puteh, Kelantan.   Pada masa yang sama,  guru penasihat bagi setiap sekolah samada menengah atau rendah dikehendaki mendaftar ahli Puteri Islam sekolah masing-masing.   Pendaftaran ini dilakukan secara online.  Biasanya apabila dikatakan online,  kebanyakan cikgu-cikgu sudah mula stress terutama guru yang agak veteran.   Golongan cikgu-cikgu yang berumur dalam lingkungan ini tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia akan menyebabkan tekanan darah mereka naik.
    Pada kebiasaannya, apabila sesuatu kerja itu berkaitan dengan sistem online,  tidak dapat tidak memang akan wujud masalah dengan sistem.  Situasi ini turut berlaku kepada saya.   Saya tidak dapat log in langsung ke dalam Sistem Online Puteri Islam sedangkan nombor dan pasword adalah mudah dan sama iaitu nombor kod sekolah.  Saya terpaksa menunggu hampir sejam lamanya untuk menunggu log in ke dalam sistem tersebut.   Mujurlah proses untuk mengisi nama-nama pelajar itu tidak menghadapi masalah.  Selesai proses pendaftaran tersebut tiada aktiviti atau pengisian untuk guru penasihat.  Justeru cikgu-cikgupun mulalah membuat pengisian sendiri,   ada yang buka 'kelab bual',  satu persatu isu dibincangkan termasuklah isu hangat terkini iaitu kehilangan pesawat mas MH370.   Walau bagaimanapun bagi bengkel penyedian buku log yang diikuti oleh pelajar masih berjalan lancar sehingga tamat jam 1.30 petang.
    Esok masih ada satu hari lagi untuk kursus dan bengkel ini.  Walau bagaimanapun saya meminta jasa baik rakan guru yang lain untuk menggantikan saya memandangkan banyak urusan di sekolah yang akan tertunda kerana cuti sekolah akan bermula minggu depan.

PERTANDINGAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN DAN FESTIVAL NASYID 2014

Teks  : Nik Norliza Nik Mat
Foto  : Nik Norliza Nik Mat



   Pada 1 April yang lalu,  satu pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran dan Festival Nasyid peringkat Zon 2, PPD Pasir Puteh telahpun berlangsung.  Pertandingan ini melibatkan 5 buah sekolah dan diadakan di SMK Sg. Petai, Pasir Puteh.  Pada tahun ini, sekolah kami SMK Cherang Ruku telah menyertai kesemua kategori yang dipertandingkan.  Kategori-kategori tersebut ialah Tilawah (Lelaki & Perempuan), Hafazan (Lelaki & Perempuan), Syarahan (Lelaki & Perempuan) serta Nasyid.

   Keputusan yang diperolehi agak memberangsangkan.  Kami telah berjaya mendapat johan bagi kategori Nasyid,  Syarahan Lelaki dan Tilawah Lelaki.  Manakala bagi kategori Syarahan Perempuan, Hafazan Perempuan dan Hafazan Lelaki, kami berjaya mendapat tempat Naib Johan.  Bagi pemenang-pemenang Johan dan Naib Johan,  mereka akan bertanding pula ke peringkat PPD yang akan berlangsung pada 8 April bertempat di SMK Tok Janggut.  Harapan kami agar peserta-peserta ini dapat membuat persembahan yang terbaik serta dapat memenangi mana-mana satu kategori yang dipertandingkan.


Ahad, 30 Mac 2014

CUTI SEKOLAH BERMULA

Teks : Nik Norliza Nik MAt
Foto : Nik Norliza Nik Mat



   Cuti sekolah penggal pertama telahpun bermula.  Seperti biasa anak-anak saya bertanyakan bilakah mereka dapat pulang ke rumah nenek di Kota Bharu.   Biasanya saya akan menyuruh mereka bertanyakan suami kerana semuanya bergantung kepada masa dan peluang yang dia ada.   Apabila mereka bertanya suami, disuruh pula tanya umi....hi,hi,hi pening kepala anak-anak.

   Jadi,  pada hari Ahad lepas iaitu 16.3.14,   kami bertolak pulang dari Jerteh ke Pasir Hor, Kota Bharu.  Kami sampai agak lewat petang kerana singgah kenduri terlebih dahulu di Pasir Puteh.  Apabila tiba di rumah Umi, kami dikejutkan dengan berita yang mencemaskan iaitu Abi telah terjatuh dari motor sewaktu hendak ke masjid pada waktu Zohor.  Kebetulan juga saya sekeluarga pulang ketika itu,  jika tidak Umi seorang diri terpaksa menghadapi berita tersebut.  Telefon rumah tiada manakala telefon bimbit Abi ada bersamanya,  jadi Umi terpinga-pinga juga tidak tahu berita terkini tentang keadaan Abi. Sayapun terus menghubungi abang yang sulung (Along) yang ketika itu berada bersama Abi di wad kecemasan Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu.

   Setelah bercakap dengan Along,  barulah saya tahu cerita sebenar dan keadaan terkini Abi di sana.   Rupa-rupanya Abi telah menekan brek tangan motosikal Yamaha yang dinaikinya secara mengejut   Mungkin Abi tidak sempat menongkatkan kakinya ke tanah menyebabkan dia terjatuh.   Kesan dari kejadian itu,  bahu sebelah kanan Abi tercabut dan ada luka sebelah dalam serta serpihan tulang.  Doktor telah cuba memasukkan sendi di bahunya tetapi tidak berjaya.   Oleh itu,  Abi perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan tulang tersebut dan memasukkan dua batang skru serta membetulkan sendi yang tercabut. Ngeri bila dengar tentang pembedahan kerana walaupun ia adalah pembedahan yang kecil sekalipun,  risikonya tetap ada.  Macam kes Abi,  faktor umur adalah sesuatu yang memungkinkan timbulnya risiko semasa dan selepas pembedahan.   Sebelum pembedahan dilakukan,  doktor telah melakukan pemeriksaan ke atasnya dan mendapati abi menghadapi masalah paru-paru.   Sel paru-paru Abi agak sedikit rosak akibat dari amalan merokok semasa muda dan juga berair.   Oleh itu doktor menerangkan kemungkinan berlaku masalah pernafasan selepas dibedah dan Abi perlu dipantau di wad icu selepas pembedahan tersebut.
      Saya yang ketika itu berada di rumah umi telah diminta oleh Umi untuk melakukan solat hajat memandangkan Umi dan adik-adik yang lain berada di hospital dan terdapat kekangan untuk menunaikan solat hajat di sana.  Sebelum pembedahan dilakukan , Abi perlu berpuasa.  Abi mula berpuasa pada pukul 12 tengah malam.  Namun tempoh  puasa Abi melebihi tempoh masa puasa wajib kita apabila terpaksa menyambung lagi puasa tersebut kerana bilik pembedahan masih penuh.  Keadaan Abi semakin teruk apabila tidak bertenaga langsung untuk bergerak ke tandas.  Jika sebelum ini memadai seorang sahaja yang memapah Abi ke tandas,  namun pada hari ke dua itu,  Abi terpaksa dipapah oleh 3 orang adik perempuan saya.  Setelah sehari menunggu giliran maka tiba lah giliran Abi untuk menjalani pembedahan.  Lebih kurang 3 jam masa pembedahan tersebut.  Alhamdulillah pembedahan telah berjaya dilakukan dan Abi dalam keadaan stabil walaupun masih tidak sedarkan diri. Setelah 12 jam dipantau dalam wad icu,  Abi ditempatkan di wad biasa.  Ramai saudara mara kami yang datang menziarahi Abi ketika di dalam wad.  Selepas 2 hari berada di dalam wad, Abi dibenarkan pulang.  Adik-adik saya yang berada di luar Kelantan juga turut pulang untuk menziarahi dan melihat sendiri keadaan Abi. Kami berasa bertuah dan berterima kasih yang amat sangat kepada adik perempuan bongsu , Nik Nurun Amani yang kebetulan berada di rumah setelah tamat belajar dalam bidang nursing.  Sekarang ini dia lah yang banyak menguruskan Abi ketika berada di rumah.  Saya sentiasa mengikuti perkembangan Abi walaupun tidak dapat menjenguk Abi di rumah.  Harapan saya moga abi cepat sembuh dan dapat bergerak aktif sepbagai mana sebelum ini.

Isnin, 10 Mac 2014

MISTERI KEHILANGAN PESAWAT MAS MH370

Teks  : Nik Norliza Nik Mat
Foto  : Carian Google






   Tanggal Sabtu 8 Mac 2014,  dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada pukul 12.41 pagi dan dijangka tiba di Beijing pada jam 6 petang.  Namun pesawat yang membawa 12 krew kabin, 239 penumpang termasuk dua bayi  itu gagal mendarat mengikut jadual.   Ia dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara.

    Hari ini adalah hari keempat pesawat tersebut hilang dan masih tidak dapat dikesan sejak dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi hari Sabtu tersebut.   Pesawat itu dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun bersama pegawai kanan, Fariq Ab. HAmid, 27 tahun.  Zaharie mempunyai pengalaman sebanyak 18,365 jam penerbangan dan telah berkhidmat sejak tahun 1981 manakala Fariq mula berkhidmat sejak 2007 dan memiliki jumlah jam penerbangan 2,763.

   Antara faktor kemungkinan yang menyebabkan sesuatu bencana berlaku terhadap mana-mana pesawat termasuk MH370 ialah :

  1. )  Struktur  kapal terbang 
  2. )  Kegagalan fungsi enjin.
  3. )  Kerosakan sistem elektronik termasuk sistem komunikasi
  4. )  Kesilapan manusia.
   Walau bagaimanapun semuanya itu adalah andaian manusia yang lemah dan terhad ilmu dan akalnya berbanding pencipta kita Allah S.W.T.   Semuanya adalah kuasa dan keajaiban Allah S.W.T yang mengatasi teknologi manusia.   Sebagai orang yang beriman ,  kita perlu percaya kepada kuasa Allah.   Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar pesawat ini dapat dijumpai dalam masa terdekat tidak kira apa jua kesudahannya samada gembira atau duka.

PRAY4MH370


Selasa, 4 Mac 2014

PUNCA JERAWAT

Teks  :  Nik Norliza Nik Mat
Foto  :  Carian Google

  Dalam entri kali ini saya ingin berkongsikan tentang masalah jerawat di kalangan kita terutamanya kaum wanita.  Saya telahpun menggunakan produk skincare D'hati Beauty Care hampir 5 bulan.   Memang saya berpuas hati dengan produk ini setelah berpuluh tahun mencuba pelbagai jenis skincare sebelum ini.   Walau bagaimanapun ada satu masalah kulit wajah yang masih menganggu saya iaitu masalah jerawat.   Sebenarnya jerawat ini adalah masalah yang berpunca dari dalam dan ia agak sukar untuk di atasi.   Walau bagaimanapun, ia dapat diatasi sekiranya kita tahu punca jerawat tersebut. 






Berikut adalah faktor-faktor yang menyebabkan jerawat keluar :

1.Perubahan hormone
    Apabila berlaku perubahan hormone seperti zaman baligh remaja, mengandung, datang haid ataupun menopause bagi wanita, jerawat akan timbul disebabkan hormone dalam badan,iaitu hormone androgen (testosterone) yang ada dalam badan lelaki dan wanita.Kebiasaannya seawal seminggu sebelum kedatangan period sehingga seminggu setelah habis period,jerawat akan mudah naik pada bila-bila masa. Ketidakstabilan hormone ini kadang-kala terkawal dan sekiranya tidak terkawal, masalah ini akan berlanjutan.Majoritinya adalah dalam belasan tahun dan awal 20 ‘an - 40 'an.Selain drpd itu,penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12 juga menyebabkan perubahan hormon berlaku.

2.Tekanan (Stress) 
      Sesetengah dari jerawat timbul dari ketegangan dan stress emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum dikulit yang bertambah. Tekanan ada dua, sama ada emosi atau fizikal.

Tekanan fizikal:
1.Exercise atau bersukan tanpa rehat yang cukup
2.Tidur yang tidak mencukupi/tidur lewat/tidur tidak teratur
3. Jadual seharian yang sangat ketat
4. Merokok, pengambilan dadah

Tekanan emosi
1.Bimbang atau kerisauan yang berlebihan
2.Buli
3.Masalah hubungan rumah tangga atau kekasih
4.Kerja /study yang banyak

3.Pemakanan
 Pemakanan yg tidak seimbang seperti kacang,makanan berperisa,seafood (udang,ketam,sotong,kerang),budu, belacan,makanan berminyak/bergoreng,telur,daging,ayam goreng,makanan berlemak spt santan,dairy products spt susu lembu,coklat.

4.Toksin
       Jika seseorang yang tidak pernah membuang toksin sejak lahir hingga umurnya mencecah 30 tahun, bermakna sudah macam-macam sisa toksin terkumpul dalam badannya.Jika sistem semula jadi tubuhnya tidak mampu untuk membuang toksin tersebut secara semula jadi, itulah yang akan menyebabkan kulit seseorang itu kusam, berjerawat dan banyak lagi keburukan lain.

5.Faktor Genetic
     Ada keturunan di mana kulit mukanya tidak bermasalah seperti golongan arab yang rata-rata bermuka putih licin, dan tidak berminyak manakala jerawat menghantui hidup golongan asia. Atas sebab itu ubat antijerawat sangat laku dijual di Asia dan tidak mendapat sambutan oleh masyarakat Arab.

6.Allergic atau alahan
    Alergic atau alahan apabila menggunakan kosmetik,foundation,cream muka baru atau pencuci muka baru yg ada bahan-bahan chemical tertentu yg tidak sesuai dgn kulit..Cara pembersihan make up yang tidak betul juga menyebabkan liang roma tersumbat.Pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak juga memberi masalah jerawat di kulit.

7. Perubahan biologi badan
      Ada segolongan individu kandungan minyak (sebum) di kulit berubah komposisi. Ada pula golongan yang menghadapi perubahan pada sel kulit muka seperti hyperproliferation of KC  (tak dapat ditafsirkan bagi golongan bukan dalam bidang perubatan)

8.Persekitaran & Pencemaran
    Habuk atau udara yang tercemar seperti asap dan bahan kimia terutamanya di bandar-bandar besar,kilang-kilang boleh menyebabkan jerawat dihadapi oleh hampir semua penduduk kawasan tersebut.Bahan-bahan ini menutup liang roma dan menyebabkan inflammasi (radang) kemerah-merahan pada kulit.

9.Jangkitan pada kulit & Resdung
     Kuman (bacteria) jenis propionobacterium acnes boleh membiak di kelenjar sebum di kulit anda dan menyebabkan jerawat. Atas sebab itu jerawat  dinasihatkan tidak dipicit kerana apabila dipicit, kuman di dalam kulit tersebar ke kawasan sekitar dan menyebabkan jerawat di permukaan yang lebih luas. 

10.Faktor Cuaca
      Perubahan cuaca serta cuaca panas juga adalah faktor jerawat keluar.